Dalam tak sedar, bumi bertuah ini sudah hampir untuk menyambut Hari Kebanggsaan atau Hari Kemerdekaan yang ke-65. Tanah tumpah darahku, walau tak best semenjak akhir-akhir ini, tetaplah menjadi kebanggaan.
Jika sebut tentang merdeka, pastinya ada beberapa bijak pandai akan bertanya dan membuat wadah seperti berikut:
- Sejauh mana rakyat Malaysia sudah Merdeka?
- Apakah anda mempunyai jiwa yang Merdeka?
- Apa yang anda faham tentang Merdeka?
- Merdeka kah kita ini sebenarnya?
- dan lain² lagi
Malas nak bercerita panjang tentang Merdeka. Pastinya rakyat Malaysia dari segenap umur dan bangsa tahu apa itu Merdeka. Ini bukan zamannya 10 tahun selepas kita Merdeka untuk kita pandang kebelakang lagi.
Merdeka itu pastinya mempunya pelbagai pengertian pada setiap insan. Tak kisah la, Ahmad, Ah Chong dan Muthu, serta rakan² kita di Sabah dan Sarawak, pasti tahu apa itu Merdeka.
Logo dan Tema Merdeka yang ke-65 (Tahun 2022)
Adapun tema kita pada kali ini adalah “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”, dan menurut Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, berikut adalah pengertiannya:
Keluarga Malaysia itu merujuk kepada masyarakat hidup aman damai & bersatu padu dalam keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Sangat sesuai dengan negara kita yang pastinya bukan sebuah negara bangsa seperti Jepun dan Korea. Malaysia ini lebih kurang sama dengan Amerika Syarikat – rakyatnya berbilang bangsa dan agama.
Manakala Teguh Bersama itu pula merujuk kepada kekuatan dan kesepaduan dicapai secara kolektif serta mampan, di mana kesepaduan ini boleh untuk terus berkembang dan terus berkembang untuk mencapai tahap yang lebih baik lagi.
Logonya pada tahun ini menggunakan lambang yang cukup serasi pada masyarakat zaman ini, iaitu lambang WiFi. Ini semua ada sebab, bukan saja² je. Kalau baca komen² Jabatan Netizen Negara, memang macam². Logo ini melambangkan pembangunan infrastruktur, sistem komunikasi serta pendigitalan yang semakin maju dan berkembang untuk kemudahan rakyat.
Natijah daripada Covid-19, semua yang tak boleh sebelum ini, dah jadi boleh. Contoh Bekerja dari Rumah berbekalkan akses kepada internet. Belajar dari rumah atau menghadiri kelas secara virtual. Ini OUM dah buat sikit punya lama dahulu, nak dengan tak nak sahaja. Ada internet, ada kehendak, maka jadilah pembelajaran secara maya ini.
Boleh rujuk Infografik untuk keterangan yang lebih teliti di bawah: