Untuk anak² ku dan semua

Abie berasa sungguh bertuah kerana sentiasa dikejutkan dari tidur untuk menunaikan kewajiban. Samada Sara atau Adam yang merengek di pagi hari untuk susu atau pun berasa tidak selesa kerana berak. Kalau dahulu kala, sebelum ada anak, mana ada rasa nak bangun pagi. Tolong sikit, tidur itu lagi enak. Pedulikan dosa, nanti boleh Qada. Sungguh tidak senonoh ketika itu dan sungguh ignorant pada masa itu.

Tiada kenal apa itu tanggungjawab pada Tuhan mahupun diri sendiri. Kadang² Tuhan itu memberi hidayahnya didalam cara yang paling pelik dan tidak masuk akal. Hanya yang menerima hidayah yang pelik² ini akan paham akan ertinya.

Dengarkan ini anak²ku. Ibu dan Ayahmu sentiasa bersusah-payah untuk kamu, terutamanya ibu kamu yang selalu tak cukup tidur kerana kamu semua. Abie rilek je, penuh kesabaran, tahan je telinga. Iyalah, kalau abie bangun pun, bukannya ada nenen nak kasi hisap. Oleh itu, biarlah Ibu kamu yang bangun (hahaha) – melainkan ada panggilan dari ibu kamu, tentang transformasi untuk lampin ke atau sebagainya. Pendek kata, dari sepuluh kejadian tengah malam atau pagi² buta, kamu semua menangis, hanya 1 atau 3 sahaja Abie yang bersusah payah. Oleh itu, berbanggalah dengan Mamie kamu semua.

Suka untuk Abie mengambil ayat dari Al-Quran yang Abie ingat ketika Tingkatan 4 dahulu:

Dan artinya:

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).

Oleh itu, hormatilah abie dan mamie terutamanya mamie kamu dan jangan sesekali menderhaka. Dan juga diingatkan bahawa jangan sesekali cuba untuk mendaftarkan diri di dalam mana² pertandingan realiti show seperti Akademi Fantasia melainkan rancangan² yang berprestij dan tidak ada unsur² maksiat. Abie tabuh kamu semua kalau masuk Akademi Fantasia.

Jangan sesekali warnakan rambut kamu ala² orang putih kerana kamu semua adalah darah kacukan Keling, Melayu dan Jawa. Tidak ada kaler perang atau pun merah di dalam gen kita. Abie akan botakkan kepala kamu semua nanti.

Jangan sesekali bermain World of Warcraft dan seumpamanya kerana kesannya amatlah buruk – belajar dari kesilapan Abie. Tanya mamie, apa Abie buat kalau main World of Warcraft.

Itulah sahaja pada ketika ini, Abie akan maintain domain in sehingglah kamu cukup dewasa untuk membaca dan memahami artikel ini.

Qaisara dan Waktu Malam

Adapun mempunyai anak yang kecil merupakan sebuah cabaran bagi ibu dan bapa yang berkerjaya. Esok nak ke kerja namun si kecil masih belum tidur. Nak dimarahkan tidak sesuai. Bodoh rasanya kalau marah-marah anak yang kecil yang tidak tahu apa itu kerja. Lagi dua bulan, bertambah merah lah mata ini. Si Adam bakal keluar dan dahulunya bertiga, InsyaAllah akan berjadi berempat. Alhamdulillah, nanti akan ada sepasang. Ramai yang berusaha untuk tambah satu atau masih lagi berusaha untuk dapat satu. Syukur kepadaNya kerana diberikan rahmat yang sedemikian rupa.

Ate Mote Mote (Nama Timangan A’eisya Qaisara Munawar) memang susah nak tidur malam. Abie dan Maminya nak tidur, itulah kalanya dia nak main lampu, mengesot nyorok bawah sofa, guling sana dan sini macam ulat dan berusaha merangkak hendak main suis (sebab ada lampu kot??). Esok kami berdua cuti-cuti, tidak apa la. Hari tak kerja memang selamba rock. Tak nak tidur pun tidak apa. Mengkala hari esoknya kerja, huhu… sendiri mau ingat. Macam mana kami berdua buat ibu dan bapa kami tak tidur malam dahulu-kala… macam itulah kami rasa hari ini. Asam dan Garam kehidupan. Sabar sahaja kerana hasilnya InsyaAllah… besar

Nanti bila Adam dah keluar dari rahim ibunya… makin merah kot mata ini. Kita tunggu dan lihat macam mana nanti.

Lagi 2 Bulan…

Hari ini terasa sedikit sentimental. Terkenangkan kembali saat-saat indah melihat anakku keluar dari rahim ibunya. Betapa besar kuasa Tuhan, memperlihatkan kepada saya perit dan sakit mengeluarkan makhluk kecil yang ramai orang buang tepi jalan pada kala ini. Ada yang campak dari tingkat 5 anaknya hidup-hidup. Sungguh tiada perasaan langsung. Biarlah, semoga Tuhan memberi mereka kesedaran, buat baik dibalas baik dan begitulah sebaliknya.

Salah satu saat yang indah di dalam hidup saya, berlaku kira-kira 8 bulan yang lalu. Menemani Puan Isteri di dalam bilik teran, sehingga habis pergelangan tangan ini luka kerana ditekan dengan kuatnya. Pedih dan sakit… Tapi dia lagi sakit. Tidak ada lelaki yang mampu menahan kesakitan kontraksi itu. Yea, kami lelaki adalah golongan yang gagah tetapi tidak segagah anda wahai wanita.

Lebih kurang jam 12.50, tanggal 20 September 2010, A’eisya Qaisara Munawar keluar dari rahim ibunya. Saat yang sungguh magikal dan indah serta sangat menyentuh perasaan. Tidak tahu macam mana nak menggambarkan perasaan itu. Lebih hebat daripada memegang ijazah dan menghenjut tangan Imam Rasah (Tok Kadi). Sungguh bertuah apabila dapat melihat anak perempuan saya keluar dari rahim ibunya.

Kini, si Masham itu sudah berumur lebih kurang 8 bulan. Dah nak tumbuh giginya. Sememangnya mata kami berdua akan merah buat beberapa minggu ini. Sangatlah masham baunya.

[img_assist|nid=545|title=|desc=|link=node|align=none|width=267|height=400]

Dan selang beberapa minggu lagi (28 Minggu), saya akan melalui pengalaman itu lagi. Memang tak raya kali ini. Orang lain raya dengan Mak dan Bapak. Saya dan Isteri, lepak hospital. InsyaAllah, kiranya diperkenankan olehNya, akan lahirlah anak lelaki saya yang mungkin diberi nama sebagai Adam… InsyaAllah.